Wednesday 14 January 2015

Rintihan Kasih

Salam,,,

Teman dan taulan. Lama rasanya sudah tidak menulis di ruangan ini. Terasa rindu di hati ingin berkongsi dengan teman-teman apa yang dirasakan di hati...
Yaaa... begitulah lumrah kehidupan... ada kalanya senang ada kalanya kita diuji dengan kesibukan ataupun kalau bukan sibuk, macam-macam faktor yang menyebabkan kita tidak dapat melapangkan diri kita lantaran diri kita sendiri.
Cuma pada kali ini, di tahun baru 2015 Masihi ini...ada rasa hati yang ingin dikongsikan bersama teman-teman...
Bagi yang merasa diri sunyi...ingatlah Allah tidak akan membiarkan diri kita sunyi...Dia sentiasa ada bersama kita tatkala kita merintih merayu padaNya. Itulah yang Dia mahu...





Monday 11 June 2012

Mengharap PadaNya



  • 0digg
  • 0
    Share
ByPutera-Islam.com
Salam saudara/saudari,
Dalam tengah saya melayari laman siber, terjumpa satu penulisan yang saya kira mudah dan senang difahami oleh saya yang masih dalam proses memantapkan keilmuan dan kefahaman saya terhadap agama yang menjadi anutan saya kini dan seterusnya sehingga saya kembali menghadapNya kelak...hayatilah !
Sifat takut (khauf) dan harap (raja’), perlu subur dalam jiwa seorang mukmin. Takut kepada Allah, takut akan azab-Nya. Tidak takut kepada selain-Nya. Mengharap kepada Allah, kepada rahmat-Nya dan pertemuan dengan-Nya. Sifat ini perlu disebatikan dalam diri, agar laluan menuju akhirat tidak terpesong.
Dua sifat ini perlu disatukan, tidak sempurna andai tiada salah satu. Sifat takut tanpa harap, dikhuatiri membawa kepada putus asa. Sifat berharap tanpa takut, dikhuatiri membawa kepada tertipu. Harapkan pahala apabila melakukan ibadat, tetapi tidak berjaga-jaga dalam menjauhkan diri daripada sifat riya’ dan bisikan syaitan, maka ibadat itu hanya sia-sia. Sesungguhnya riya’ itu adalah syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Betapa penting buat seorang mukmin itu untuk sentiasa menjaga niatnya.
Firman Allah Ta’ala:
Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal saleh dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatupun dalam beribadat kepada Tuhannya. (Al-Kahfi: 110)
Inilah harapan, cita-cita mahupun kehendak yang paling utama buat seorang mukmin. Harapan untuk bertemu dengan Al-Khaliq, dan kekasihnya Muhammad s.a.w. di syurga. Tiada yang paling didambakan melainkan ini. Tiada yang lebih membahagiakan melainkan ini.
Maka demi Pertemuan Agung, bayarannya adalah amal saleh yang dihiasi ikhlas. Inilah bekalan kita, dengan itu redha dan rahmat Allah dapat diraih.

Taubat
Daripada Anas r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. telah berfirman (yang bermaksud):
Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Dosa seorang hamba yang begitu banyak bukanlah suatu yang besar bagi Allah, selagimana dia bertaubat dan berharap kepada Allah. Usah kita terpedaya dengan bisikan syaitan, yang berusaha agar kita putus asa terhadap rahmat-Nya.
Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya (kecuali syirik). Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar:53)
Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).

(Az-Zumar:54)
Usah diperdaya oleh syaitan dan angkatan manusianya yang ingin melihat kita sentiasa berasa lemah. Kuatkan diri untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, kembali ke jalan benar.
Firman Allah Ta’ala:
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (Hud:114)

Teladan
Imam Syafi’e rahimahullah berkata ketika menghadapi sakit yang membawa kepada kematiannya:
Ketika hatiku menjadi keras dan pernafasanku sempit,

Aku menjadikan harapan untuk mencapai keampunan-Mu sebagai tangga.
Dosaku sangat besar, namun ketikaku bandingkan,
Ternyata keampunan daripada Tuhanku adalah lebih besar.
Betapa ulama’ hebat seperti beliau, memiliki sifat takut terhadap Allah, apatah lagi buat kita, yang seharusnya memiliki lebih sifat takut kepada Allah, disebabkan dosa-dosa yang tidak terhitung.

Dakwah
Kita berdakwah bukan kerana kita rasa kita lebih baik daripada orang lain. Kita perlu rasa takut apabila teringatkan amaran Allah s.w.t. :
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (As-Saff: 2-3)
Namun kita juga perlu berharap akan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t :
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” ? (Fussilat:33)
Mari kita renungkan dan ambil semangat daripada kata-kata hikmah Imam Hasan Al-Basri:
“Sesungguhnya jika aku sedang menasihati kamu, bukanlah beerti akulah yang terbaik dikalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Monday 4 June 2012

Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam

Nizar.PCNT: Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam: Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun...


Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam




Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali.
Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir. Berapa Juta Liter Air Zam-Zam?

Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang. 

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter. 
Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter. 

Keanehan Air Zam-Zam

Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum. 

Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam. Masya Allah. 

Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah 
untuk diuji.

Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya. 

Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya. 

Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter). 

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS. 


Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan. 

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci. 

Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun!. 

Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba. 

Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar. 

Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya. 

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: 

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”. 

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman. 

Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar. 
Klik Gambar Untuk ZOOM

Mengandungi Zat Anti Kuman 

Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.

Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. “Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun.

Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat
diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi”.

Nabi S.A.W. menambahkan: 

“Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”. 
(HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.

1. Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.

2. Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3. Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

4. Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.

Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan.

Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Sunday 20 May 2012

Mujahidah Akhir Zaman (4)






Assalamualaikum,
Saudara/saudari, berakhir sudah kisah mujahidah bernama Zainab Al-Ghazali yang sebelum ini kita mengikuti kisahnya yang penuh ranjau dan duri dalam menegakkan kalimah syahadah yang dilafazkan dan dizahirkan dengan perbuatan yang  seribu onak menanti.Saudara, akhir szaman ini Islam dikejam, dihina dan diperkotakkan katikkan oleh golongan kuffar yang tidak senang dengan kebangkitan Islam.Halangan ini seandainya dilakukan oleh puak yang tidak Islam kita tidak hairan tetapi apa yang menyedihkan penentangan Islam kini dilakukan oleh orang Islam sendiri yang mana syariat Islam ini telah lengkap dan menjadi rujukan sedunia dalam isu-isu yang rumit untuk diselesaikan dan mereka menjadikan kaedah Islam sebagai panduan.Mengapa kita sebagai orang Islam yang menentang dasar tersebut. Benarlah kata-kata Nabi Muhammad s.a.w pada akhir zaman nanti Islam kembali dagang dan nampak ganjil apabila diamalkan oleh golongan yang tidak mahu Islam bersinar di bumi Allah ini.Marilah saudara saudari kita menghayati kisah pejuangan umat akhir zaman dalam memenangkan Islam dalam perjuangan mereka.......

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 4 (Terakhir)

Sambungan daripada Kisah Zainab Al-Ghazali… (Rujuk juga Bahagian 1Bahagian 2 danBahagian 3)

Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu herapa banyak bilangannya. Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya… saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati saya… dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya — itulah yang saya rasai. Saya berdoa “Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain Ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!”
Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah… itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah S.W.T bersama-sama dengan saya…Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku.
Beliau mengeluh dan merasai ni’mat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah S.W.T kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya.
Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merubak rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka.
Waktu itu hari hampir ‘Isyak… kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai… Saya berserah bulat kepada Allah S.W.T kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk… dilepaskan pula udara sejuk.
Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (la’natullah ‘alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki.
Demikianlah! segala macam penyeksaan mereka lakukan. Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk… dan macam-macam lagi penyeksaan… dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota… menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali.
Beliau mengesahkan, satu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya. Ia berkata “Duhai Makcik ku (Ya Khali), tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus saya memukul mu, Ya Khali”. Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka, ia menyeret keluar dan memaki hamun pemuda itu. Pada esok harinya, ketua penjara memberitahu kepada Zainab Al-Ghazali, pemuda itu ditembak mati.
Pegawai penyeksa-penyeksa di penjara terkejut kehairanan bagaimanakah keseksaan yang amat berat itu sanggup ditanggung oleh wanita… yang lebih berat penyeksaan yang ditanggung oleh lelaki… dan tidak sanggup ditanggung oleh sebarangan lelaki. Iman seorang wanita yang kebal dan kental, lebih kuat dari bubur — Muhathah. Mereka amat takjub dan mereka mengatakan, ini adalah suatu perkara yang luar biasa. Salah seorang dari mereka datang berjumpa dengan Zainab Al-Ghazali. Ia bertaubat dan meminta Zainab untuk mengajarnya Islam dan bagaimanakah hendak mendirikan Solat. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja dilatih keganasan fizikalnya, malah dilatih dengan fahaman mereka.
Oleh kerana itu ada di antara mereka berkata kepada Zainab Al- Ghazali: Kamu sering berkata tentang Neraka Jahanam. Sekarang kamu berada dalam neraka Jamal Abdul Nasser. Mintalah keampunan dari Nasser atau Engkau terima syarat-syarat yang ditawarkan olehnya. Ketika Zainab berkata: Allah…Allah…., salah seorang dari mereka berkata: Seandainya kami nampak Allah yang kamu sebut itu, kami akan tangkap ia dan penjarakan bersama-sama kamu. Inilah kekufuran yang berlaku. Inilah yang menyebabkan mereka takut dan gentar kepada gerakan Islam.
Kemudian beliau dibicarakan dalam mahkamah pura-pura, beliau dipenjara seumur hidup. la dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb, bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka menahan kelaparan yang amat sangat. Mereka ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, manalah ada kiranya sisa-sisa makanan, ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan, mereka ambil dan makan kulit-kulit pisang itu, mereka tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.
Zainab Al-Ghazali dipenjara di sebuah kem tahanan tentera yang terletak di pinggir kota Kaherah. Beliau melihat wanita-wanita yang telah rosak akhlaknya, mereka rosak kerana dadah dan arak, mereka telah kehilangan kehormatan mereka, akibat dari proses pembaratan yang dilakukan oleh rejim sosialis. Zainab Al-Ghazali dan saudara-saudaranya itu diberi layanan yang buruk, berbeda sama sekali layanan yang diberikan kepada wanita-wanita Yahudi yang ditangkap kerana kegiatannya sebagai “spy” adalah lebih baik daripada layanan yang diterima oleh Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan saudara-saudara mereka yang lain.
Sehingga beberapa lama beliau ditahan, di satu pagi sekitar tahun 1973, beliau dipanggil dan ditunjukkan surat pembebasan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada ALlah S.W.T, kerana Allah S.W.T lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempohinya adalah benar. Rasulullah S.A.W bersabda “Syaitan diharamkan menyerupai ku”. Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W adalah satu perkara yang benar.
Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang kini masih hidup, dan terus menjalankan tugas-tugas yang berat ini bersama-sama Mujahid-Mujahid yang lain untuk mengembalikan umat manusia dan alam ini kepada Islam.
Berikutan dengan penangkapan beramai-ramai sahabat kita Ikhwan Muslimin oleh rejim Mendiang Anwar Sadat dan diteruskan oleh rejim Husni Mubarak (Zainab Al Ghazali) turut juga ditangkap, tapi kali ini ia hanya ditahan di rumah sahaja kerana dengan alasan sudah uzur. Semoga Allah S.W.T memelihara mereka.
Sekian sahaja kisah serikandi, mujahidah sejati, Zainab Al-Ghazali… Insya-Allah dalam penulisan akan datang, saya akan sertakan cetusan hati penulis asal kisah tersebut. Terima kasih kerana sabar menanti hingga kesudahan kisah. Harap dapat dijadikan pedoman pembakar semangat juang. Wallahualam…

Thursday 17 May 2012

Mujahidah Akhir Zaman (3)





Assalamulaikum,
Saudara/saudari, bertemu kembali sambungan kisah Mujahidah Akhir Zaman ini. Semoga semangat roh jihadnya memberi satu inspirasi untuk kita hayati dan perjuangkan. Seandainya bukan di medan perang tetapi di persekitaran terdekat kita iaitu rumah kita.Roh jihad itu bermula dari dalam rumah sebenarnya.Medan jihad yang kecil untuk terjun ke medan jihad yang lebih besar.Didik amanah Allah (anak ) untuk menjadi mujahid dan mujahidah akhir zaman.Hendaknya kalau bukan kita yang mengibarkan panji-panji kebenaran dan kemenangan itu, anak cucu kita yang akan mengibarkannya.......insyaAllah !

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 3

Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb,; Halidah Hassan Al- Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah A!-Fath, Aminah Al-Jauhati.
Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sitatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah di tangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahwa ini adalah pertanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.
Setelah Mursyidul ‘Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai’ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul ‘Am penganti Hassan Al-Banna. Ia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. la mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.
Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang ‘Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan da’wah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah mengunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital.
Regim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat. Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah “sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku”. Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.
Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: “Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah” Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali
Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan. Sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964.
Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret kebilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam. Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya. “Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan denganperkara yang Engkau redhai”.
Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelik-belik buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.
Di waktu itu saya mendengar azan ‘Asar… saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya dari “keganasan syaitan”. Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa “Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat.”
Satu lagi bahagian menanti insya-Allah… Atau mungkin dua. Harap pembaca bersabar dan teruskan menanti. Suatu penantian itu menyeksakan, namun kesabaran itu pasti dibalas dengan kemanisan kelak. Wallahualam…