Monday, 4 June 2012

Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam

Nizar.PCNT: Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam: Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun...


Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam




Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali.
Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir. Berapa Juta Liter Air Zam-Zam?

Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang. 

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter. 
Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter. 

Keanehan Air Zam-Zam

Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum. 

Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam. Masya Allah. 

Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah 
untuk diuji.

Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya. 

Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya. 

Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter). 

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS. 


Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan. 

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci. 

Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun!. 

Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba. 

Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar. 

Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya. 

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: 

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga”. 

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman. 

Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar. 
Klik Gambar Untuk ZOOM

Mengandungi Zat Anti Kuman 

Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.

Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. “Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun.

Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat
diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi”.

Nabi S.A.W. menambahkan: 

“Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”. 
(HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.

1. Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.

2. Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3. Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

4. Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.

Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan.

Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Sunday, 20 May 2012

Mujahidah Akhir Zaman (4)






Assalamualaikum,
Saudara/saudari, berakhir sudah kisah mujahidah bernama Zainab Al-Ghazali yang sebelum ini kita mengikuti kisahnya yang penuh ranjau dan duri dalam menegakkan kalimah syahadah yang dilafazkan dan dizahirkan dengan perbuatan yang  seribu onak menanti.Saudara, akhir szaman ini Islam dikejam, dihina dan diperkotakkan katikkan oleh golongan kuffar yang tidak senang dengan kebangkitan Islam.Halangan ini seandainya dilakukan oleh puak yang tidak Islam kita tidak hairan tetapi apa yang menyedihkan penentangan Islam kini dilakukan oleh orang Islam sendiri yang mana syariat Islam ini telah lengkap dan menjadi rujukan sedunia dalam isu-isu yang rumit untuk diselesaikan dan mereka menjadikan kaedah Islam sebagai panduan.Mengapa kita sebagai orang Islam yang menentang dasar tersebut. Benarlah kata-kata Nabi Muhammad s.a.w pada akhir zaman nanti Islam kembali dagang dan nampak ganjil apabila diamalkan oleh golongan yang tidak mahu Islam bersinar di bumi Allah ini.Marilah saudara saudari kita menghayati kisah pejuangan umat akhir zaman dalam memenangkan Islam dalam perjuangan mereka.......

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 4 (Terakhir)

Sambungan daripada Kisah Zainab Al-Ghazali… (Rujuk juga Bahagian 1Bahagian 2 danBahagian 3)

Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu herapa banyak bilangannya. Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya… saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati saya… dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya — itulah yang saya rasai. Saya berdoa “Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain Ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!”
Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah… itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah S.W.T bersama-sama dengan saya…Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku.
Beliau mengeluh dan merasai ni’mat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah S.W.T kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya.
Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merubak rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka.
Waktu itu hari hampir ‘Isyak… kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai… Saya berserah bulat kepada Allah S.W.T kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk… dilepaskan pula udara sejuk.
Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (la’natullah ‘alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki.
Demikianlah! segala macam penyeksaan mereka lakukan. Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk… dan macam-macam lagi penyeksaan… dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota… menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali.
Beliau mengesahkan, satu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya. Ia berkata “Duhai Makcik ku (Ya Khali), tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus saya memukul mu, Ya Khali”. Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka, ia menyeret keluar dan memaki hamun pemuda itu. Pada esok harinya, ketua penjara memberitahu kepada Zainab Al-Ghazali, pemuda itu ditembak mati.
Pegawai penyeksa-penyeksa di penjara terkejut kehairanan bagaimanakah keseksaan yang amat berat itu sanggup ditanggung oleh wanita… yang lebih berat penyeksaan yang ditanggung oleh lelaki… dan tidak sanggup ditanggung oleh sebarangan lelaki. Iman seorang wanita yang kebal dan kental, lebih kuat dari bubur — Muhathah. Mereka amat takjub dan mereka mengatakan, ini adalah suatu perkara yang luar biasa. Salah seorang dari mereka datang berjumpa dengan Zainab Al-Ghazali. Ia bertaubat dan meminta Zainab untuk mengajarnya Islam dan bagaimanakah hendak mendirikan Solat. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja dilatih keganasan fizikalnya, malah dilatih dengan fahaman mereka.
Oleh kerana itu ada di antara mereka berkata kepada Zainab Al- Ghazali: Kamu sering berkata tentang Neraka Jahanam. Sekarang kamu berada dalam neraka Jamal Abdul Nasser. Mintalah keampunan dari Nasser atau Engkau terima syarat-syarat yang ditawarkan olehnya. Ketika Zainab berkata: Allah…Allah…., salah seorang dari mereka berkata: Seandainya kami nampak Allah yang kamu sebut itu, kami akan tangkap ia dan penjarakan bersama-sama kamu. Inilah kekufuran yang berlaku. Inilah yang menyebabkan mereka takut dan gentar kepada gerakan Islam.
Kemudian beliau dibicarakan dalam mahkamah pura-pura, beliau dipenjara seumur hidup. la dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb, bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka menahan kelaparan yang amat sangat. Mereka ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, manalah ada kiranya sisa-sisa makanan, ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan, mereka ambil dan makan kulit-kulit pisang itu, mereka tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.
Zainab Al-Ghazali dipenjara di sebuah kem tahanan tentera yang terletak di pinggir kota Kaherah. Beliau melihat wanita-wanita yang telah rosak akhlaknya, mereka rosak kerana dadah dan arak, mereka telah kehilangan kehormatan mereka, akibat dari proses pembaratan yang dilakukan oleh rejim sosialis. Zainab Al-Ghazali dan saudara-saudaranya itu diberi layanan yang buruk, berbeda sama sekali layanan yang diberikan kepada wanita-wanita Yahudi yang ditangkap kerana kegiatannya sebagai “spy” adalah lebih baik daripada layanan yang diterima oleh Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan saudara-saudara mereka yang lain.
Sehingga beberapa lama beliau ditahan, di satu pagi sekitar tahun 1973, beliau dipanggil dan ditunjukkan surat pembebasan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada ALlah S.W.T, kerana Allah S.W.T lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempohinya adalah benar. Rasulullah S.A.W bersabda “Syaitan diharamkan menyerupai ku”. Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W adalah satu perkara yang benar.
Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang kini masih hidup, dan terus menjalankan tugas-tugas yang berat ini bersama-sama Mujahid-Mujahid yang lain untuk mengembalikan umat manusia dan alam ini kepada Islam.
Berikutan dengan penangkapan beramai-ramai sahabat kita Ikhwan Muslimin oleh rejim Mendiang Anwar Sadat dan diteruskan oleh rejim Husni Mubarak (Zainab Al Ghazali) turut juga ditangkap, tapi kali ini ia hanya ditahan di rumah sahaja kerana dengan alasan sudah uzur. Semoga Allah S.W.T memelihara mereka.
Sekian sahaja kisah serikandi, mujahidah sejati, Zainab Al-Ghazali… Insya-Allah dalam penulisan akan datang, saya akan sertakan cetusan hati penulis asal kisah tersebut. Terima kasih kerana sabar menanti hingga kesudahan kisah. Harap dapat dijadikan pedoman pembakar semangat juang. Wallahualam…

Thursday, 17 May 2012

Mujahidah Akhir Zaman (3)





Assalamulaikum,
Saudara/saudari, bertemu kembali sambungan kisah Mujahidah Akhir Zaman ini. Semoga semangat roh jihadnya memberi satu inspirasi untuk kita hayati dan perjuangkan. Seandainya bukan di medan perang tetapi di persekitaran terdekat kita iaitu rumah kita.Roh jihad itu bermula dari dalam rumah sebenarnya.Medan jihad yang kecil untuk terjun ke medan jihad yang lebih besar.Didik amanah Allah (anak ) untuk menjadi mujahid dan mujahidah akhir zaman.Hendaknya kalau bukan kita yang mengibarkan panji-panji kebenaran dan kemenangan itu, anak cucu kita yang akan mengibarkannya.......insyaAllah !

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 3

Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb,; Halidah Hassan Al- Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah A!-Fath, Aminah Al-Jauhati.
Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sitatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah di tangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahwa ini adalah pertanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.
Setelah Mursyidul ‘Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai’ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul ‘Am penganti Hassan Al-Banna. Ia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. la mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.
Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang ‘Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan da’wah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah mengunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital.
Regim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat. Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah “sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku”. Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.
Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: “Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah” Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali
Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan. Sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964.
Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret kebilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam. Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya. “Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan denganperkara yang Engkau redhai”.
Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelik-belik buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.
Di waktu itu saya mendengar azan ‘Asar… saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya dari “keganasan syaitan”. Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa “Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat.”
Satu lagi bahagian menanti insya-Allah… Atau mungkin dua. Harap pembaca bersabar dan teruskan menanti. Suatu penantian itu menyeksakan, namun kesabaran itu pasti dibalas dengan kemanisan kelak. Wallahualam…

Mujahidah Akhir Zaman (2)


Assalammulaikum,
Saudara/saudari, teruskan pembacaan kalian dengan sambungan kisah Mujahidah  Akhir Zaman ini bagi menguatkan hati-hati kita untuk mencontohi peribadinya dan mengambil semangat perjuangannya, mudah-mudahan seandainya kita tidak duduk dikalangan mereka , kita menyokong perjuangan mereka.......

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 2

Berikut adalah sambungan kisah Zainab Al-Ghazali, Mujahid sejati…
Tanggungjawab umat hari ini, sangat berat iaitu membebaskan diri dari kongkongan dan cengkaman sekularisma yang meuguasai negara mereka, membebaskan diri mereka daripada jahiliyah yang sedang mengongkong hati dan pemikiran mereka. Tanggungjawab ini sangat berat. Sekularisma bukan sahaja wujud sebagai teori semata-mata bahkan ia wujud sebagai institusi yang mengikat teguh sesamanya.
Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T dengan syarat melalui satu jalan iaitu JALAN ISLAM. Negara Islam tidak dapat ditegakkan dengan lain-lain jalan kecuali JALAN ISLAM. Menurut beliau lagi, cara utama untuk kembali kepada JALAN UTAMA ini ialah Revolusi Pemikiran (Thaurah Fikriyah) — satu revolusi yang dapat mengubah pemikiran Jahiliyah kepada pemikiran Islam, berdasarkan ‘aqidah Islam. Ini memerlukan Tarbiyah — pendidikan amali untuk membentuk sikap, tindakan-tindakan dan tingkah laku serta pemikiran Muslim dan Muslimah menjadi pemikiran Islam.
Beliau menyebutkan ini sebagai langkah awal dalam pembentukkan Daulah Islam. Beliau fahami ini daripada Al-Quran tentang sunnah perubahan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang maksudnya “Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Bahawa perubahan itu tidak akan berlaku kecuali adanya perubahan diri itu yang difokuskan kepada jiwa dan hati manusia. Ini merupakan satu macam ketentuan – sunnatul llah dalam mengatur perubahan sejarah. Bahawa perubahan diri ini bermula dengan perubahan pemikiran, peribadi dan tingkah laku diri manusia. Inilah fahaman beliau yang mendalam tentang Islam. Beliau menganjurkan untuk menuju kepada Daulah Islam, hendaklah mengadakan revolusi pemikiran perubahan yang pantas seperti sikap para sahabat.
Beliau memetik kata-kata Syed Qutb dalam memperkatakan Jilun – Quraanun – Fariid, satu generasi Quran Yang Unik, bila mereka memeluk Islam, mereka sekali gus meningggalkan ciri-ciri Jahiliyah secara menyeluruh. Perubahan atau Revolusi yang pantas dan cergas ini dilakukan dan seluruh pandangan mereka tentang nilai-nilai hidup dilihat mengikut neraca Islam, bukan neraca dunia atau Jahiliyah.
Beliau memahami bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh Rasulullah S.A.W. dalam Dakwah baginda. Langkah pertama dalam membuat perubahan ialah melalui Tarbiyah atau pendidikan keatas para sahabat, mereka dididik oleh Rasulullah S.A.W. bukan pada teori bahkan pada diri dan tingkah laku mereka. Tarbiyah ini meliputi Tarbiyah Rohani dan Jasmani.
Tarbiyah yang menekankan kepada pembentukkan Iman yang mendalam, sehingga tercerna dan lahir dalam tingkah laku mereka, sehingga Al-Quran tercerna dan tercetak pada diri dan tubuh badan mereka. Sehingga segala tindakan mereka adalah Islam — di lihat sahaja pada diri salah seorang dari mereka sudah ternampak akan Islam, ternampak akan Daulah Islam pada diri mereka, dan seterusnya hidupnya adalah Islam.
Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mendidik jiwa mereka melahirkan manusia misali yang unggul dalam sejarah peradaban manusia. Demikianlah natijah hasil dari didikan Iman, yang jelas pada sifah para sahabat.
Lihatiah!! Seorang pemuda yang kacak dan anak tunggal dari keluarga hartawan, Mus’ab ‘Umair namanya – ia yakin dengan ajaran Muhammad S.A.W. dan terus memeluk Islam sebagai agamanya, sehingga akhir hayatnya. Setelah ibunya mengetahui bahawa Mus’ab mengikut ajaran Muhammad S.A.W, maka ia mengugut tidak akan memberi harta warisan kepada Mus’ab, seandainya ia tidak mahu kembali kepada agama nenek moyangnya.
Mus’ab sudah bulat keimanannya, demikianlah hasil didikan Rasulullah S.A.W. terhadapnya ia terus beriman dengan ajaran Muhammad S.A.W. “Aku memilih ajaran Muhammad dari memilih harta kekayaan”. Ibunya pula terus bersumpah, ia tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali kepada agama asalnya. Sebaliknya Mus’ab pula bersumpah “Seandainya ibuku mempunyai 100 nyawa, dan keluar satu demi satu dari tubuhnya aku tetap dengan ajaran Muhammad SAW, aku tetap dengan kalimah LAILAHA ILLALLAH, namun aku tingalkan Islam, sekali-kali tidak”.
Inilah kesan yang terus menerus dari Tarbiyah, Mus ab ketika syahid di medan Jihad, tatkala kain yang ada padanya untuk ditutupkan ke atas tubuhnya tutup kepalanya, terdedah kakinya, tutup kakinya terdedah kepalanya. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memerintahkan bahagian kepalanya ditutup dengan kainnya dan bahagian kakinya ditutup dengan daun kayu.
Demikianlah Mus’ab sanggup meninggalkan kesenangan dan kekayaan, dan rela mengorbankan dan menjual dirinya kepada Islam… semoga syurga firdaus ganjaranya. Pengorbanan demikian tidak sanggup dilakukan oleh manusia kecuali mereka yang dididik dengan Iman. Inilah sebagai satu syarat yang diwujudkan oleh Zainab Al-Ghazali, agar Negara Islam dapat dikembalikan.
Kisah ini masih mempunyai kira² dua bahagian lagi. Sekiranya anda tidak sabar menantikan bahagian² seterusnya, silalah emel saya secara peribadi, insya-Allah saya akan mengemelkan ‘the full story’ terus kepada anda. Wallahualam…

Wednesday, 16 May 2012

Mujahid & Mujahidah Akhir Zaman (1)





Salam saudara,
Saya merasa kagum dan terpanggil untuk berkongsi kisah Mujahidah akhir zaman ini. Teguh pendirian beliau dalam menyampaikan risalah Islam dan penghayatannya walaupun ditentang oleh rejim Jamal Abdel Nasser.


Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 1-

Saya tertarik untuk berkongsi kisah seorang Mujahidah terkenal, Zainab Al-Ghazali yang telah pulang ke rahmatullah bulan Ogos yang lalu. Jadikan kisah ini sebagai pedoman, iktibar serta muhasabah. 

Buat muslimat, jadikan ini semangat dan dorongan serta bukti bahawa muslimat juga mampu berjuang sama hebat dengan muslimin. Buat muslimin, jika seorang muslimat mampu menghadapi dugaan sehebat dalam kisah yaang akan dipaparkan, kita yang mengaku anak jantan bagaimana?


PENGALAMAN ZAINAB GHAZALI
Telah berlaku suatu peristiwa di dalam abad ini ke atas seorang wanita Mesir yang bergerak di dalam harakah Islamiah di Mesir yang dapat dijadikan tauladan.
Semasa perkahwinan akan dijalankan di antaranya dengan suaminya, Zainab Ghazali telah mengenakan syarat supaya suaminya membenarkannya untuk bergiat di dalam harakah Islamnya. Katanya, “Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya.”
Dia memperingatkan suaminya lagi, “Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T.”
Apakah kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh Zainab Ghazali dan rakan-rakannya untuk harakah Islamiah?
Contoh seorang Muslimah Abad 20
ZAINAB AL GHAZALI AL ZUBAILI
Zainab Al Ghazali Al-Zubaili nama sepenuhnya. la dilahirkan di sekitar tahun 1917, di awal abad dua puluh ini, 65 tahun usianya ketika ini. Mula ditahan dalam tahun 1965, ketika itu usianya sekitar 44 tahun. Akibat dari penyeksaan yang dahsyat yang ditanggungnya dalam tahanan ketika diambil statement oleh pendakwa, mereka menyangka umurnya lebih 90 tahun, pada hal umurnya ketika itu 44 tahun — menunjukkan betapa beratnya seksaan yang dilakukan oleh rejim Jamal Abdel Nasser.
Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan “Jamaah Saidatina Muslimah”. Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method cara dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin.
Meski pun beliau dipilih menjadi ketua pertama Jamaah itu, namum beliau telah berbai’ah dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Banna, pada penghujung abad 14 hijrah beliau ditugaskan memimpin Jemaah Saidatina Muslimah.
Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam, agar memahami Islam, agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh.
Dengan itu mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah. la berjuang meletakkan wanita sebagai ibu yang dapat mendidik rijal (pejuang) untuk membangunkan Islam.
Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Kemasukkan sosial budaya barat sedang berlaku dan terus melanda budaya umat Islam — pakaian, tingkah laku dan pemikiran mereka sedang hanyut dalam budaya Barat yang menunju ke arah kehancuran. Inilah dia belenggu sekularisma. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisma ini.
Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu, oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar pimpinan Islam kepada wanita Islam. Untuk melahirkan rijal, tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam.
Kisah ini akan saya sambung setiap hari insya-Allah kerana kisahnya sangat panjang. Sekiranya ingin mengetahui post² terbaru, silalah daftarkan diri anda untuk melanggan dengan blog ini. Saya meng’upgrade’kan blog ini khas buat anda, para pembaca budiman. Nantikan sambungan kisah Mujahidadah terulung ini… Wallahualam…

Tuesday, 1 May 2012

Air Mata Rasulullah





Salam...
Saudara budiman,
Betapa kasihnya Nabi Muhammad saw kepada kita umat akhir zaman. Umat pilihan, walaupun jarak antara kehidupan kita dengan kehidupan Nabi sudah melebihi 1400 tahun berlalu.Ingatan Nabi tidak pernah padam dari denyut nafas hidup Baginda.Ya, sahabat dizaman Nabi, utuh iman mereka tetapi seandainya umat akhir zaman ini seutuh iman para sahabat, pasti itu yang dirindui Nabi.Manakan tidak, hingga akhir hayat baginda, tidak lekang dari bibir Baginda yang mulia menyebut,"ummati,ummati,ummati; umatku,umatku,umatku".Insan yang bagaimana lagi yang tersangat menyayangi diri orang lain selain Baginda Nabi Muhammad saw.Hatta seorang bapa, apabila bergelut dengan kematian, terlupa segala, ingatan tertumpu pada diri sendiri, tetapi tidak sekali-kali Nabi Muhammad saw.
Saudara...
Dulu.......sebelum diri ini menerima Islam sebagai pegangan dan Nabi Muhammad sebagai Rasullallah, tidak terperi rasa kebencian di hati dek kerana termakan (kurang mengkaji) oleh dakyah-dakyah golongan yang tidak bertanggungjawab dan menyelewengkan fakta kebenaran Nabi Muhammad saw sebagai insan yang teramat mulia.Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas diri Baginda yang mulia. Tetapi setelah iman dicampakkan ke dalam hati.......tiada insan yang lebih dicintai melainkan Nabi Muhammad saw.Walaupun kadang-kadang diri terlalai, tapi fitrah hati teramat ingin kembali mengasihi dan mengikuti sunnah Nabi........
Bayangkan saudara....... Nabi Muhammad saw menangis apabila apabila seorang sahabat Baginda, Ibnu Mas'ud yang disuruh Nabi saw membaca al-Quran, "Bacakankanlah al-Quran untukku, maka Ibnu Mas'ud membaca Quran surah an-Nisa ayat 41, "Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (Rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)."Kemudian Rasululllah saw bersabda, " Cukup sampai di sini,".Aku menoleh kepada Rasul saw, ternyata kedua matanya mengecurkan (mengalirkan) air mata. (Mutafaqalaih).
Saudara...
Baginda menangis kerana tidak berimannya manusia yang kafir (belum menerima Islam) kepada ajaran yang Baginda bawa.Apakah yang dapat menolong golongan yang tidak beriman ini menghadapi Allah nanti di akhirat.Ajaran Baginda Nabi bukan rekaannya tetapi datangnya dari Allah , tuhan pencita sekalian makhluk  dan Nabi diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.Pilunya hati Baginda di atas tidak berimannya manusia yang tidak ingin beriman dengan agama yang dibawanya iaitu Islam. Terdapatkah manusia yang menangis kerana kita tidak mahu beriman, saudara? Tetapi kerana kasihnya Nabi kepada umat yang tidak muslim.......Baginda menangis...........

Wallahualam.


*Teman-teman yang masih dalam kepercayaan selain Islam....kajilah dan telitilah sejarah dan fakta kebenaran Islam bukan melihat kepada segelintir umat islam yang sudah jauh menyimpang dari kebenaran Islam, kalian akan bertemu kebenaran seandainya hati kita benar-benar ingin mencari Tuhan.........Tuhan akan menunjuk jalan dan tidak akan disia-siakan.